Permulaan Kalendar Islam

al-QuranSebelum kedatangan Islam, orang-orang Arab tidak memiliki kalendar yang khusus untuk digunakan bersama. Walaubagaimanapun semua mereka mengira setahun itu dengan 12 bulan. Disamping tidak memiliki kalendar yang khusus, mereka juga menamakan 12 bulan itu dengan nama-nama yang berbeza antara satu dengan yang lain, seperti jadual di bawah:

bulan2arab.gif

Orang-orang Arab menghitung bulan-bulan dalam setahun berdasarkan peristiwa-peristiwa masyhur yang berlaku di dalam sejarah mereka seperti Tahun Gajah (عام الفيل), Peperangan al-Fijar (وحرب الفجار), tarikh pembinaan semula kaabah dan sebagainya.

Keadaan ini mungkin disebabkan tabiat Arab dahulu yang sentiasa mengembara dan tidak menetap disesuatu tempat, barangkali juga disebabkan banyak berlaku peperangan dan perbalahan sesama mereka antara kabilah-kabilah yang berbagai-bagai. Disamping mereka tidak pernah berhimpun untuk sesuatu peristiwa yang sama sebagai memulakan satu tarikh yang sama untuk mereka.

Dalam keadaan sedemikian, orang-orang Arab bersepakat memuliakan 4 bulan yang sama dalam setahun. Bulan-bulan tersebut ialah: Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Mereka mengharamkan peperang dan pencerobohan dilakukan di dalamnya. Walaubagaimanapun mereka tidak sunyi dari melakukan tipudaya/muslihat dengan menggunakan Nizom al-Nasi’ (نظام النسيء) dengan mengawal dan melewatkan bulan-bulan yang haram ini sesuka hati mereka. Mereka berterusan dalam keadaan begitu sehingga datangnya Islam dan mengharamkannya, firman Allah swt:

(maksudnya)”Sesungguhnya (al-Nasi’ – النسيء ) mengundur-ngundurkan bulan haram itu adalah menambah kekafiran, disesatkan orang-orang yang kafir dengan mengundur-ngundurkan itu, mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, agar mereka dapat menyesuaikan dengan bilangan yang Allah mengharamkannya maka mereka menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah…” (al-Taubah:37)

Selepas datangnya Islam, orang-orang Arab dan Umat Islam kekal beberapa tempoh dalam keadaan sedemikian (tidak ada kalendar yang khusus). Mereka menetapkan tarikh dengan peristiwa-peristiwa yang penting. Keadaan ini berterusan sehinggalah selepas berlakunya peristiwa hijrah al-Rasul saw ke Madinah al-Munawwarah, dalam bentuk tidak diberikan tarikh-tarikh dalam bentuk bilangan dalam setiap tahun, sebaliknya hanya diberikan nama-nama peristiwa penting yang berlaku di dalamnya, maka 10 tahun selepas hijrahnya Nabi saw ke Madinah sehinggalah kewafatan baginda diberikan nama-nama seperti berikut.

1. Tahun pertama (hijrah) dikenali sebagai al-Izn (الإذن)

2. Tahun kedua (hijrah) dikenali sebagai al-Amr (الأمر)

3. Tahun ketiga dikenali sebagai al-Tamhish (التمحيص)

4. Tahun keempat dikenali sebagai al-Turfiah (الترفئة)

5. Tahun kelima dikenali sebagai al-Zalzal (الزلزال)

6. Tahun keenam dikenali sebagai al-Isti’nas (الاستئناس)

7. Tahun ketujuh sebagai al-Istighlab (الاستغلاب)

8. Tahun kelapan sebagai al-Istiwa’ (الاستواء)

9. Tahun kesembilan sebagai al-Bara-ah (البراءة)

10. Tahun kesepuluh sebagai al-Wada’ (الوداع)

Keadaan ini berterusan sehinggalah dizaman pemerintahan ‘Umar Ibn al-Khattab r.a. timbullah keperluan bagi sebuah negara Islam yang luas empayarnya untuk memiliki kalendar yang khusus. Selepas perbincangan dan musyawarah bersama pembesar-pembesar sahabat, mereka semua (para sahabat Nabi saw) bersepakat untuk menjadikan hijrah Nabi saw sebagai permulaan bagi kalendar islam. Ini kerana peristiwa hijrah itu berperanan besar memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan, ia juga merupakan permulaan bagi daulah islamiyyah.

Mereka juga bersepakat menjadikan awal muharram (permulaan bulan Muharram) tahun hijrahnya Rasulullah saw sebagai permulaan kalendar islam, kerana bulan muharram merupakan bulan yang paling masyhur dalam bulan-bulan yang haram dan kedudukan yang pertama dalam pengiraan dan dalam bulan itu juga umat Islam selesai daripada menunaikan ibadat haji. (sumber:islamonline)

Perlu diambil perhatian hijrah bukanlah berlaku pada hari pertama dalam bulan muaharram ini, sebaliknya hijrah bermula di penghujung bulan Safar dan Nabi saw sampai di Madinah pada 12 Rabi’ulawwal. Bulan Muharram adalah tempoh keazaman untuk melakukan hijrah, dimana bai’ah (janji taat setia) berlaku di dalam bulan Zulhijjah dan ia dikira sebagai muqaddimah hijrah, dan anak bulan yang berikutnya selepas Zulhijjah ialah anak bulan Muharram dan ketika itulah bermulanya azam untuk melakukan hijrah. Inilah kesesuaian/munasabah menjadikan Muharram itu sebagai titik permulaan hijrah dan pengiraan kalendar Islam.

Kalendar hijrah dimulakan pada tahun ke16 hijrah, dkatakan juga mula digunakan pada tahun 17 hijrah di zaman pemerintahan ‘Umar ibn al-Khattab r.a.

Terdapat beberapa sebab yang menjadikan ‘Umar r.a. memulakan pengiraan kalendar Islam, antaranya riwayat daripada al-Sya’bi tentang peristiwa Abu Musa menulis surat kepada ‘Umar, dimana beliau telah menerima beberapa pucuk surat daripada ‘Umar yang tidak mempunyai tarikh, sehingga beliau tidak mengetahui bilakah surat itu diutuskan kepadanya. Lalu ‘Umar r.a. menghimpunkan para sahabat Nabi saw untuk membincangan tentang permulaan kalendar Islam. Sebahagian mereka mencadangkan dimulakan pengiraan kalender Islam sempena pengutusan Nabi saw. Sebahagian yang lain mengatakan kita mulakan dengan (tahun) hijrah. Lalu Umar r.a. berkata: “Hijrah itu memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan, maka kiralah darinya.” Peristiwa ini berlaku pada tahun ke 17 hijrah. (fath al-Bari, 7/376)

Setelah mereka bersetuju untuk memulakan pengiraan kalender Islam pada tahun hijrah, sebahagian mereka mencadangkan dimulakan pengiraan kalendar dengan bulan Ramadhan, lalu ‘Umar r.a. berkata: “Bahkan mulakan dengan Muharram, kerana ketika itu manusia selesai dari menunaikan haji.” lalu mereka semua bersetuju. Di dalam riwayat yang lain menyatakan yang mencadangkan pengiraan bermula dengan tahun hijrah itu ialah ‘Ali r.a. lalu dipersetujui oleh ‘Umar(ibid)

Terdapat juga riwayat daripada daripada Ibn Sirin yang menyebut suatu hari seorang lelaki dari Yaman sampai di Madinah menceritakan dia melihat di Yaman sesuatu yang dinamakan al-Tarikh, mereka menulisnya daripada tahun demikian dan bulan demikian, lalu ‘Umar menghimpunkan manusia untuk membuat perkara yang sama. Kata sebahagian orang, mulakan dengan hari maulid Nabi saw, berkata yang lain: mulakan dengan pengutusan baginda saw, berkata yang lain mulakan daripada hijrah, berkata yang lain lagi mulakan dengan kewafatan baginda saw. Lalu ‘Umar berkata: Kita mulakan mengira dari keluarnya baginda dari Mekah ke Madinah.” Kemudian dikatakan kepada ‘Umar: “Bulan apa kita hendak mulakan?” Sebahagian orang berpendapat dimulakan dengan bulan Rejab, sebahagian yang lain bulan Ramadhan, lalu Uthman berkata: Kita mulakan dengan bulan Muharram, kerana ianya bulan haram, dan ianya awal tahun dan pulangnya orang ramai dari menunakan haji.” Kata Ibn Sirin peristiwa itu berlaku pada tahun 17 hijrah – dikatakan juga pada 16 hijrah – dalam bulan Rabiulawwal. (Sila rujuk Fath al-Bari, 7/376-377)

Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun

Berdasarkan sejarah permulaan kalendar Islam, jelas menunjukkan permulaan tahun hijrah bukanlah dimulakan oleh Nabi saw. Sebaliknya ia hasil dari perbincangan para sahabat selepas kewafatan baginda saw di zaman ‘Umar r.a. Ini menunjukkan doa akhir dan awal tahun yang didakwa memiliki kelebihan diampunkan dosa dan syaitan berputus asa dari menggoda orang-orang yang membacanya dan Allah mewakilkan 2 malaikat untuk menjaganya, adalah sesuatu yang tidak ada asalnya sama sekali dari Sunnah Nabi saw.

wallahu a’lam.

Explore posts in the same categories: Bebas

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: